Wednesday, September 12, 2012

Pejuang nasib alam

Generasi muda pejuang nasib alam http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htmhttp://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm Kosmo Online 13 September 2012 ________________________________________ MASIH segar dalam ingatan Sarah Aida Mihamed Mustak, 17, pada kehijauan alam semula jadi di sekitar kediamannya ketika dia kecil. Ketika itu, dia yang tinggal di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya, Shah Alam sering menjadikan landskap di sekeliling taman perumahannya sebagai tempat bermain. “Saya ingat lagi keadaan ekosistem hutan di sekitar tempat tersebut sangat kaya. Saya selalu juga terserempak dengan monyet dan pokok-pokok buah. Suasana persekitarannya juga lebih sejuk, nyaman dan redup. Kini, semuanya sudah tiada,” ujarnya kecewa. Tambah Sarah, lebih menyedihkan apabila adik-beradiknya sendiri kini sudah tidak berpeluang melihat persekitaran semula jadi yang pernah dia saksikan sebelum ini. Hal itu seringkali membuatkannya berasa tidak puas hati. Keresahan itu ternyata bukan dalam fikiran Sarah seorang. Bagi Nur Irsalina Sulzaily, 17, dia juga mempunyai pendapat dan pengalaman yang hampir sama. “Hutan yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan sekali gus membekalkan oksigen, memberi kenyamanan dan memainkan peranan tambahan yang lebih daripada itu. “Apabila pemusnahan berlaku untuk tujuan pembangunan, memang ada alasan pro dan kontra tetapi janganlah sehingga ia mengganggu ekosistem seterusnya membawa kepada kekurangan sumber semula jadi,” katanya yang turut dipersetujui rakan sebaya, Nik Norizzati Nik Adnan dan Annisa Shafiqah Shahrin. Keempat-empat mereka ialah antara lapan orang pelajar yang digelar Wira Alam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong (SMKBJ), Shah Alam. Mereka termasuk dalam kumpulan 31 orang Wira Alam dari seluruh negara yang terpilih ke peringkat kebangsaan untuk memberi input mengenai isu pemusnahan hutan. Jika boleh dihurai maksud keresahan kata-kata yang terpacul daripada mulut anak-anak muda itu, ternyata boleh dirumuskan sesuatu. Mereka semua sedar akan tanggungjawab besar bagi menangani masalah kemusnahan alam sekitar yang makin berleluasa kini. Berdasarkan isu tersebut, pelajar-pelajar berkenaan menyuarakan isi hati mereka melalui pemahaman, pengalaman, pendedahan dan keprihatinan masing-masing. Hal yang sangat dibanggakan adalah semangat dan kebangkitan mereka untuk menyertai program berkaitan alam sekitar seterusnya mencetus kesedaran umum terhadap topik itu. Program yang disertai 31 orang Wira Alam itu adalah sempena acara Boh Forest Friends (BFF) yang diadakan di SMKBJ baru-baru ini. Sekolah tersebut menjadi contoh kerana para pelajarnya bersama guru-guru giat mengambil bahagian dalam projek Wira Alam. “Sekolah kami menumpukan kepada kebitaraan sekolah iaitu keutamaan kepada konservasi alam sekitar. Projek BFF ini bertepatan dengan visi sekolah ini dan pihak luar membimbing pelajar iaitu generasi penentu masa depan dalam mengembang ilmu mengenai alam sekitar,” kata Pengetua SMKBJ, Aishah Siden. Sekolah itu jelas mengutamakan konsep hijau. Buktinya, lokasi program itu sendiri dilangsungkan di dewan terbuka tanpa pendingin hawa dan dikelilingi landskap hijau dan hembusan udara segar. Sekolah tersebut juga sinonim dengan Wira-Wira Alam yang dibentuk melalui Kelab Pencinta Alam sekolah. Pada majlis berkenaan, BFF turut mengadakan program menanam pokok dan gotong-royong oleh pihak Boh Plantation Sdn. Bhd., disertai Ketua Pegawai Eksekutif, Caroline Russell. Dalam pertemuan bersama media beliau memberitahu, bencana alam atau masalah alam sekitar seperti tanah runtuh dan pemusnahan hutan boleh mengganggu kualiti kehidupan manusia yang saling bergantungan dengan ekosistem. Sebagai salah sebuah negara diversiti mega yang amat menghargai kekayaan flora dan fauna, dengan hutan paya bakau yang lebih tua daripada hutan Amazon iaitu 130 juta tahun usianya, penting untuk meningkatkan kesedaran terhadap rasa pemilikan dan tanggungjawab terhadap alam semula jadi.” Caroline menggambarkan hutan sebagai harta pusaka yang dipinjam daripada generasi kanak-kanak dan menjadi kebimbangan dan keutamaan program tanggungjawab sosial korporat pihak Boh. Sehubungan itu, pihaknya bertekad untuk memastikan kanak-kanak dan pelajar sekolah terlibat dalam usaha sama pihak Boh, Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan sekolah masing-masing dalam menjayakan program mendidik kepentingan hutan serta berhadapan isu pemusnahan hutan. “Sasaran kami ialah pelajar sekolah menengah dari 100 sekolah. Melalui program ini, BFF akan melalui dua peringkat iaitu perjumpaan pelajar di sekolah dan penyertaan pelajar dalam pertandingan Hutan Maya Boh,” ujar Caroline. Boh mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah peserta dengan membimbing pelajar mengenai pemusnahan hutan dan impak kepada alam sekitar. Pelajar juga ditawar dengan tip dan penerangan untuk menjadi pengaruh positif dalam kalangan rakan-rakan serta komuniti bagi menyumbang ke arah penjagaan alam sekitar. Fasa kedua pula, Boh melalui BFF menganjur pertandingan yang bermula pada 18 Julai yang lalu untuk menilai kefahaman mereka mengenai isu pemusnahan hutan melalui alam maya. Setiap jawapan yang betul akan membawa pelajar ke arah hutan maya yang lebih kaya. Di peringkat akhir, mereka akan disudahi dengan pakej hutan yang lengkap di samping hadiah-hadiah bulanan menarik kepada pelajar dan sekolah peserta. Dalam pada itu, Pengarah Konservasi WWF Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna yang turut bersama dalam menyokong dan bekerjasama bersama BFF turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu alam sekitar dan penghargaan kepada Boh serta sekolah terbabit atas usaha murni tersebut. Kata beliau, 1.6 bilion manusia bergantung kepada hutan dan ia menjana pendapatan yang sangat memberangsangkan. Pada tahun 2004 sahaja, perdagangan produk perhutanan sahaja mencapai kira-kira AS$327 billion (RM1021.7115 bilion). “Kekayaan ini menghadapi ugutan apabila lebih 1,300 kilometer persegi hutan dimusnahkan begitu sahaja menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujar Dr. Sundari menyampaikan kekecewaan merujuk kepada pemusnahan hutan global setiap tahun. Katanya lagi, di samping bekerjasama dengan Boh, WWF Malaysia turut aktif dengan pelbagai program khas sama ada khusus kepada pemusnahan hutan atau alam sekitar secara keseluruhan, disasarkan kepada semua orang.