Tuesday, January 15, 2013

Fenomena Kerang Beracun

DIKENALI sebagai Negeri Di Bawah Bayu disebabkan kedudukannya yang berada di luar zon ribut yang sering melanda utara perairannya, Sabah sememangnya sebuah negeri yang unik. Ia terletak di utara kepulauan Borneo, iaitu pulau ketiga terbesar di dunia selain diliputi kawasan seluas 73,500 kilometer persegi. Melihat aspek geografinya, Sabah memiliki pantai sepanjang 14,400 kilometer di samping keindahan lebih 40 buah pulau yang menghiasi sekelilingnya. Dengan Laut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di timur laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan, sewajarnya perairan Sabah dihuni pelbagai hidupan laut yang penuh misteri. Dari aspek positif, kelebihan itu menjadikan Sabah sebuah destinasi pelancongan air yang wajib dikunjungi, ditambah dengan variasi makanan laut yang tiada batasan. Beracun Bagaimanapun, kehadiran sejenis mikroorganisma di perairan Sabah yang hidup bebas dan telah dikesan sejak tahun 1976 membawa kepada cerita yang menakutkan. Dengan saiz 25 mikrometer dan hanya boleh dilihat menerusi mikroskop, hidupan ini, Pyrodinium bahamense var compressum mampu mencetuskan fenomena air merah sehingga dianggap sebagai pembunuh senyap kepada nyawa manusia. Dalam fenomena terbaharu, dua kematian dilaporkan di Sepanggar, Sabah dipercayai akibat keracunan selepas memakan kerang yang dicemari toksik yang berpunca daripada fenomena air merah yang bermula dua bulan lalu. Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Rayner Stuel Galid berkata, Pyrodinium bahamense var compressum merupakan plankton mikroskopik yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Katanya, apabila spesies beracun itu telah mencapai satu jumlah yang besar, air laut akan membentuk tompok-tompok merah yang akhirnya dikenali sebagai fenomena air merah atau red tide. "Mengikut rekod Jabatan Perikanan Sabah, plankton ini dikesan buat pertama kali pada tahun 1976 dengan 202 kes keracunan kerang paralitik dan telah mengakibatkan tujuh kematian. "Mikroorganisma yang juga pengeluar racun atau toksik kumpulan keracunan kerang-kerangan paralitik ini menyerang hidupan laut terutamanya hidupan jenis kerang-kerangan selain ikan-ikan pelagik," katanya. Antara kerang-kerangan yang disahkan beracun semasa fenomena ini ialah kerang, kupang, siput sudu, tiram, remis dan siput tarik. Hakikatnya kata Rayner, kejadian air merah biasa berlaku di perairan pantai barat meliputi perairan Kudat di bahagian utara Sabah sehinggalah ke Labuan. Bermusim Ia berlaku secara bermusim iaitu pada penghujung tahun dan awal tahun. Fenomena ini biasa terjadi selepas hujan lebat pada musim kemarau atau kesan daripada suhu rendah berpanjangan sepanjang musim hujan. "Air laut akan kelihatan berwarna merah kecoklatan akibat ledakan pertumbuhan dinoflagellate bertoksik kerana pertambahan nutrien dalam air laut," ujar Rayner. Justeru kata beliau, segala bentuk kerang-kerangan selain ikan pelagik seperti ikan tamban dan ikan basung adalah antara hidupan yang dicemari. "Pada masa 30 minit pertama, mangsa yang memakan hidupan laut yang telah dicemari akan berasa kebas pada bibir, muka dan seterusnya bahagian leher. "Mangsa juga akan berasa seperti dicucuk jarum di hujung jari tangan dan kaki, sakit kepala, pening, muntah dan cirit-birit," jelasnya. Bagi kes yang teruk, ujar beliau, mangsa akan mengalami kelumpuhan otot, sukar bernafas dan rasa tercekik. "Dalam kes yang sangat serius, kematian boleh berlaku dalam masa dua hingga 23 jam kerana sistem pernafasan menjadi lumpuh dan jantung tidak berfungsi," tambahnya. Dalam pada itu, menjawab persoalan mengapa hanya sebilangan hidup laut yang menjadi toksin dalam fenomena air merah, beliau menjelaskan, ia berhubung kait dengan sistem pemakanan hidupan laut itu selain jenis ikan pemakan plankton. "Plankton yang toksin akan terkumpul dalam organ hidupan laut itu semasa proses penapisan makanan. Apabila hidupan laut itu dimakan pula oleh manusia, toksik itu berpindah masuk ke dalam tubuh manusia sekali gus memudaratkan kesihatan," jelasnya. Sementara itu, Pegawai Makmal Ride Tide, Jabatan Perikanan Sabah, Ainah Poyong menjelaskan, apabila analisis toksin dalam kerang-kerangan menunjukkan keputusan 400 unit Mouse (MU), maka satu pengumuman setempat akan dibuat melibatkan kawasan terbabit sahaja. "400MU itu dianggap had terendah kepada tahap berbahaya untuk manusia. Namun, jika analisis toksin mendapati kandungan telah melebihi 400MU, maka satu pengumuman awam akan dilakukan," katanya. Untuk rekod, katanya, analisis toksin ke atas beberapa contoh kerang-kerangan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan peringkat setinggi 6,900MU di kawasan Putatan, 4,010MU (Papar) dan 3,300MU di Tuaran. "Pihak kami menjalankan dua kaedah pemantauan untuk mengenal pasti kandungan toksin ini iaitu menerusi sampel kerang-kerangan dan ikan-ikan pelagik serta sampel air laut. "Pemantauan akan dibuat sepanjang tahun iaitu sekali dalam tempoh dua minggu," ujar Ainah yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam mengendalikan kes air merah. Tambahnya, isi kerang-kerangan dan sampel air yang diambil dari perairan laut akan dibawa ke makmal untuk diekstrak bagi menentukan kandungan toksin. "Dari situ kita akan tahu kawasan mana yang mempunyai toksin yang tinggi sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak jabatan," ujarnya. Beliau turut menjelaskan, sehingga kini belum ada bahan penawar yang khusus untuk rawatan keracunan akibat memakan kerang-kerangan. "Langkah terbaik adalah mengelak daripada memakan semua kerang-kerangan serta ikan jenis pelagik," katanya. JIKA jari kaki berasa seperti dicucuk jarum selepas menikmati hidangan laut, anda mungkin telah terkena racun. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2I6N02lAZ
SEL beracun yang dikenali sebagai Pyrodium Bahamense Var Compressum.
PENOLONG Pegawai Jabatan Perikanan Sabah, Calvin Moris menunjukkan kerang jenis beliung yang dicemari toksik.

burung cenderawasih

RUPA fizikal burung itu begitu menakjubkan. Ia memiliki bulu pelepah berwarna keperangan pada badannya. Ekornya pula ditumbuhi bulu-bulu lembut yang berjurai. Tidak hairanlah jika sesetengah pihak percaya setiap inci tubuh burung itu memberi tuah kerana rupanya yang unik, apatah lagi ia begitu sukar ditemui. Menurut catatan, burung yang berasal daripada keluarga Paradisaeidae itu hanya boleh didapati di kawasan Irian Jaya atau dikenali sebagai Papua, Indonesia. Justeru kesukaran untuk bertemu haiwan itu di tempat biasa menguatkan lagi kepercayaan bahawa ia merupakan sejenis haiwan magis yang hidup di kayangan. Selain cerita mitos yang disampaikan daripada mulut ke mulut, kisah misteri burung cenderawasih turut ditulis menerusi sebuah kitab kuno, Hikayat Tajul Muluk. Sebahagian kandungan kitab itu menyatakan bahawa: "Burung cenderawasih asalnya dari kayangan. Amat jarang orang yang menemuinya kerana ia tiada di bumi. Kalau ia terbang rendah ke bumi, itu tandanya hayat burung itu akan berakhir kerana ia mati bila menjejakkan kaki ke tanah. "Bangkai burung itu tidak reput kerana ia hanya makan embun syurga. Ia mengeluarkan wangian yang sukar digambarkan. Selain itu, setiap inci tubuhnya termasuk perut dan bulu mempunyai keistimewaan. Ia ada khasiat dalam perubatan." Bulu Pendapat lain oleh Sahibul Hikayat yang menceritakan mengenai burung cenderawasih menjelaskan bahawa apabila bulunya gugur di bumi, ia akan bertukar menjadi batu permata yang berharga. Selain itu, jika seseorang memakai bulunya di kepala dan dibawa pergi ke mana-mana, dipercayai bulu tersebut akan memberi kuasa pengasih, penunduk dan pelaris kepada sekalian manusia. Selain pengaruh mitos tersebut kuat di Indonesia terutamanya kepercayaan oleh kaum orang asli di kawasan asal burung itu, hal sama turut mempengaruhi segelintir rakyat Malaysia. Banyak pihak yang cuba menyeludup burung itu sama ada yang masih hidup atau bangkainya demi mengaut keuntungan. Bangkai haiwan itu yang telah diawet dijual antara harga RM1,500 hingga RM10,000. Turut dilaporkan bahawa ada pihak yang menjual sehelai bulu burung cenderawasih yang dibingkaikan pada harga RM800. Selain itu, sebotol minyak pengasih bulu burung itu dijual pada harga RM77 sebotol. Haiwan itu mendapat permintaan yang tinggi di negara ini kerana dikatakan mampu menjadi pelaris dan membantu memberi kesihatan yang baik kepada pemiliknya. Bagaimanapun, burung cenderawasih disenaraikan mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam 2008 di negara ini. Pensyarah Universiti Pembinaan Masyarakat Indonesia di Medan, Mohammad Idrus Abu Hanifah menegaskan, burung cenderawasih yang dianggap istimewa oleh sesetengah pihak merupakan satu kepercayaan karut. Diawet "Burung-burung cenderawasih yang masih elok itu sebenarnya telah diawet untuk dijadikan perhiasan kerana rupanya yang cantik dan sukar diperoleh. Sebenarnya bangkai haiwan itu tidak mampu kekal secara semula jadi. "Ia tidak boleh menjadi pelaris perniagaan mahupun ubat untuk menguatkan tenaga batin. Saya terkejut kerana kepercayaan itu turut terbawa-bawa hingga ke Malaysia," katanya yang menasihati orang ramai yang mempercayai perkara itu agar menghentikannya kerana boleh mendatangkan syirik. Tambah Mohammad Idrus, sesetengah pihak di Indonesia yakin haiwan itu mampu memberi aura kepada pemiliknya, bahkan boleh menaikkan nafsu pasangan yang meletakkan burung tersebut di bilik tidur. Seorang pemandu pelancong di Papua, Indonesia, Helmut Kmur memberitahu, suatu ketika dahulu dia sering bertemu dengan penjual haiwan tersebut apabila membawa pelancong berjalan-jalan sekitar kawasan kepulauan tersebut. "Orang asli Papua selalu memburu haiwan yang dilindungi itu untuk dipersembahkan ketika melakukan upacara tradisional. Mereka memburunya untuk hal itu. Ada juga yang menjualnya kerana ramai yang mempercayai kuasa magis burung itu. "Dahulu populasinya banyak di hutan Papua. Tetapi oleh kerana kerap diburu, jumlah burung itu berkurangan secara mendadak, bahkan begitu sukar ditemui lagi. Sesuatu harus dilakukan agar ia tidak terus pupus," kata Helmut. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2I6KEwAhc